Aku terlalu angkuh mengatakan
bahawa cinta sejati itu sememangnya tidak mampu dimiliki.
Saat aku bakal menyerah jiwa
ragaku kepada insan yang baru kukenali, hatiku tetap punyai secebis keraguan.
Aku bersujud kepada-Nya penuh
rasa kehambaan, kehinaan.
“Ya Khaliq, andai ini yang Kau
tentukan buatku, aku terima dengan setulus hati. Aku redha cinta itu seharusnya
bersandar kepada kehendakmu dan niatku untuk beribadah. Kau bantulah hamba Mu
ini mencintai dan menerima dirinya sepanjang hidupku. Segalanya ku lalui
demi-Mu Ya Allah...”
Aku buang segala cinta dunia
yang pernah menjengah jiwaku. Dengan sedikit rasa marah dan kesal, ku menjerit
pada awan nan biru,
“Manusia tak mampu membuat
pilihan! Aku takkan mampu bersama dengan orang yang aku cinta! Semua ini
takdir!!”
Tanganku mengenggam erat
pepasir pantai. Aku akur pada kehendak-Mu!
............................................................................................
Indah dan gemilangnya
kecantikan Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah takkan mampu menghentikan
butiran-butiran airmata yang menitis di pipiku.
Melihat kelibat seorang lelaki
yang kini menghuni segenap jiwa sang isteri ini sedang solat berjemaah di
hadapanku, aku rasa malu kepada-Nya.
Lelaki itu adalah suamiku. DIA
telah memakbulkan hasrat hatiku yang paling dalam, aku terlalu ingin menjadi
jemaah bersama seorang suami di rumah-Nya yang penuh dengan kebesaran itu.
Aku malu kepada-Mu kerana Kau
sebenarnya membenarkan manusia membuat pilihan, tetapi dengan kehendak-Mu!
Hinanya aku.
.................................................................................................
Bergema suaranya di segenap
corong telingaku mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ketika kami solat bersama.
Hingga bergetar jiwaku.
Bergetar tubuh ini. Saat ku
sujud kepada-Mu, airmataku turun dengan laju. Aku dapat merasa betapa kerdilnya
diriku bersujud di muka bumi yang pernah menjadi saksi kekesalanku terhadap
takdir-Mu.
Allah yang Esa, betapa
mulainya Engkau, kini doaku terus-terusan kau makbulkan. Aku sedang merasakan
betapa indahnya menjadi makmum kepada seorang suami!
Sungguh, hinanya aku.
..................................................................................................
Aku tidak yakin ada lelaki
yang mampu bertahan dengan sifat sebenarku, suka merajuk, mengada-ngada.
Hanya kerana sedikit
perselisihan, aku terasa hati. Aku berdiam diri. Lama. Puas suamiku memujuk,
tetapi aku tegar berdiam diri daripada berkata sesuatu yang mungkin menyakiti
hatinya.
Aku menjerit di dalam hati,
“Kau lihatlah hamba Mu ini! Mengapa Kau masih tentukan aku menjadi suri di
hatinya? Kasihan dia, tidak pernah marah...terpaksa melayan sikapku yang begini
mengada...”
Tiba-tiba aku rasakan
serta-merta jiwaku menjadi sejuk. Damai. Tenang di dalam pelukannya yang sentiasa
setia mengharapkan kedinginan menyirami jiwaku.
Terus kukucupi tangannya, dan
ku ucapkan ampun maaf.
Airmataku mengalir lagi.
Menyaksikan kemuliaan Mu membuktikan kepadaku bahawa dialah jodoh terbaik dari
Mu untukku.
Sesungguhnya, aku hina.
.................................................................................................
Sememangnya aku hina. Hina
kurasakan apabila mengimbau akan keterlanjuran dan kebodohanku mempersoalkan
ketentuan Mu.
Aku hina kerana menyangka
cinta sejati itu hanya apa yang aku pilih dan inginkan.
Aku hina kerana menganggap
takdir Mu hanya menjadikan hidup ini sebagai medan ujian tanpa dapat merasa
keindahan.
Aku hina kerana akur dengan
kehendak Mu bersama hati yang lelah!
Sedangkan Engkau terus-terusan
mencurahkan kemuliaan Mu buatku. Engkau buktikan kepadaku,
“Manusia itu siapa untuk
meramalkan masa depannya? Manusia sememangnya makhluk yang angkuh!”
Ya Allah, terima kasih.
Ampunkan dosaku.
Sesungguhnya aku sedang jatuh
cinta dan memiliki cinta sejati kurniaan Mu.
Terimalah apa jua yang Allah
takdirkan untukmu dengan sabar dan syukur.
“Maka yang mana satu di
antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (ar-Rahman : 18)

No comments:
Post a Comment